3.0 Nombor
Nombor
merupakan asas yang penting dalam mata pelajaran matematik kerana nombor
digunakan dalam operasi asas matematik dan juga dalam topik-topik matematik
yang lain. Nombor adalah sesuatu
yang dikaitkan dengan kuantiti, kesedaran yang melibatkan konsep dari mudah ke
kompleks. Seseorang murid tidak akan dapat mempelajari matematik selanjutnya
jika dia tidak menguasai kemahiran menulis nombor, membilang serta menulis
nilai sesuatu nombor. Pada peringkat awal pembelajaran, murid didapati boleh
membilang tetapi sering menghadapi masalah menulis nombor dengan betul dan pada
peringkat seterusnya mereka sering menghadapi masalah menentukan nilai tempat
dan membundarkan nombor.
3.1 Konsep nombor
Konsep nombor disimpulkan oleh
pemikiran seseorang daripada kumpulan atau kumpulan benda yang dilihat. Konsep
nombor menggambarkan bilangan atau banyaknya benda bagi sesuatu kumpulan iaitu
sifat kuantiti benda tersebut manakala angka adalah simbol atau tanda yang
mewakili serta menggambarkan konsep. Konsep nombor ordinal dan kardinal perlu
diajar dan diberi penekanan kepada murid sejak awal lagi. Ini dapat mengubah
struktur pemikiran kanak-kanak yang sering menghafal nombor tanpa mengenal
makna nombor itu yang menjadi penghalang kepada mereka untuk membuat pertalian
antara nombor ordinal dan nombor kardinal. Nombor kardinal digunakan untuk
membilang berapa banyak objek dalam satu set atau kumpulan. Memahami nombor
kardinal amat penting kerana dengan adanya kebolehan menjumlah serta mengenal
kuantiti sesuatu objek, murid akan dapat menggunakan nombor bulat untuk empat
operasi matematik. Walaupun nombor kardinal perlu diberi lebih penekanan, murid
juga perlu diperkenalkan dengan cara kedua nombor digunakan iaitu penggunaan
nombor ordinal. Nombor ordinal ialah nombor yang digunakan untuk mengetahui
kedudukan relatif sesuatu objek atau peristiwa.
3.1.1 Menghafal nombor
Aktiviti
menghafal nombor boleh dijalankan secara berperingkat iaitu nombor dalam
lingkungan 10, nombor dalam lingkungan 18, nombor dalam lingkungan 50 dan
nombor dalam lingkungan 100. Aktiviti yang paling berkesan bagi kemahiran
menghafal nombor ini adalah latih tubi. Kebolehan murid menghafal nombor akan
membantu mereka menyelesaikan masalah matematik yang lain dengan lebih cekap
dan pantas.
3.1.2 Menunjuk nombor
Aktiviti
menunjuk nombor juga akan dapat mendekatkan murid dengan nombor dan secara
tidak langsung mereka dibiasakan dengan nombor tersebut dan hal ini membantu mereka untuk lebih mengenali
nombor-nombor yang diperkenalkan. Guru boleh menggunakan carta nombor dan
meminta murid menunjuk nombor yang disebut oleh guru. Latih tubi sebegini akan
meningkatkan kecekapan murid dalam mengenali nombor. Di samping itu juga, guru
boleh menggunakan kad-kad nombor dan meminta murid mengumpul (mengasingkan)
angka yang sama atau menunjuk kad nombor yang guru sebut.
3.1.3 Menulis nombor
Sebaik-baiknya
murid mula diperkenalkan dengan kemahiran menulis nombor setelah mereka dapat
mengaitkan makna nombor dengan angka. Mereka juga boleh mula berlatih menulis
angka ketika masih dalam proses pemantapan kefahaman tentang nombor. Penulisan
angka bagi sesuatu nombor harus dilakukan bersama-sama perwakilan model nombor,
sama ada dalam bentuk konkrit atau gambar dengan tujuan untuk memperkukuhkan
makna nombor itu. Sebelum menggunakan otot halus, penulisan angka boleh bermula
dengan menggunakan pergerakan otot kasar seperti menulis di udara, kotak pasir
dan sebagainya. Aktiviti lain yang boleh dijalankan adalah menyurih nombor-nombor
timbul dengan jari mengikut urutan, menekap mengikut urutan nombor dengan
pensel warna pada acuan angka dan membentuk angka mengikut garisan titik-titik.
3.1.4 Nilai nombor
Konsep
nilai tempat merupakan suatu aspek penting dalam sistem penomboran kerana
kedudukan digit dalam sesuatu nombor mempunyai nilai tertentu. Murid
diperkenalkan kepada konsep nilai tempat apabila mereka sudah boleh membaca dan
menulis angka bagi nombor 0 hingga 9 serta boleh membilang dengan mengumpul
secara sepuluh-sepuluh. Antara pendekatan yang boleh digunakan untuk
memperkenalkan konsep nilai tempat melalui pengumpulan bahan berkadaran seperti
menggunakan lidi, dan rod biji kacang. Untuk mengukuhkan konsep ini dalam
kalangan murid, guru boleh juga menggunakan kaedah permainan bingo dan kad
lipat.
3.1.5 Menyebut dan menulis nombor
Ø “counting-on”,
(urutan menaik)
Antara aktiviti yang boleh dijalankan adalah
membilang dan menyusun pembilang dari nilai kecil ke besar, meletakkan kad
angka di bawah pembilang dan menyusun angka secara menaik dari kad angka yang
diselerakkan.
Ø “counting-back”
(urutan menurun)
Bagi kemahiran ini, aktiviti yang boleh
dijalankan adalah membilang dan menyusun pembilang dari nilai besar ke kecil,
meletakkan kad angka di bawah pembilang, menyusun angka secara menurun dari kad
angka yang diselerakkan dan melengkapkan turutan nombor secara menurun.
Ø “skip
counting (nombor di antara)
Pada
peringkat ini, murid dilatih untuk mengisi nombor yang tepat diantara dua
nombor. Aktiviti yang boleh dilakukan adalah meletakkan kad angka di antara
kad-kad angka, menamakan nombor diantara dan mengisi tempat kosong dengan angka
yang sesuai.
No comments:
Post a Comment