total viewer

Saturday, September 21, 2013

Bahan Bantu Mengajar Matematik

8.0       Bahan Bantu Mengajar Matematik
            Bahan bantu mengajar merupakan segala kelengkapan yang digunakan oleh guru untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran. Bahan bantu mengajar merangkumi semua benda yang boleh dilihat, didengar, dipegang, dibaca, dikisahkan, dirasai, dihidu, digunakan dan sebagainya. Bahan-bahan ini boleh digunakan bersama-sama dengan aktiviti pelajaran di dalam matapelajaran matematik. Guru boleh menggunakan pelbagai jenis bahan bantu mengajar semasa sesi pengajaran mereka.
            Bahan bantu mengajar tersebut terbahagi kepada dua, iaitu bahan elektronik dan bukan elektronik. Antara bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru dalam pengajaran matematik adalah komputer, LCD projector, powerpoint, OHP transparensi, kertas majung, model – model 3D, manila kad, hand out dan bahan – bahan terbuang. Guru juga lebih cenderung untuk membuat dan membina sendiri bahan bantu mengajar ini berbanding menggunakan bahan bantu mengajar yang disediakan oleh pihak sekolah. Kajian Gayeski (1986), menunjukkan bahawa walaupun penggunaan komputer untuk pengajaran menggunakan kaedah graf, carta dan kerja lukisan kini kian mudah dan canggih, namun kaedah tradisional seperti sliad, OHP, dan handout masih lagi digunakan dengan meluas dalam pengajaran matematik.
            Kepelbagaian penggunaan bahan bantu mengajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kefahaman murid dan dapat menarik minat dan perhatian murid untuk lebih fokus dan memahami konsep yang diajar. Menurut Mohd Dahlan (1992), penggunaan pelbagai alat bantu mengajar mengikut cara yang bersesuaian dapat meningkatkan mutu atau tumpuan murid – murid terhadap pembelajaran. Penggunaan bahan bantu mengajar matematik juga turut memudahkan guru dalam penyampaian konsep kepada pelajar. Pada amnya, cara menggunakan alat bantuan mengajar hendaklah diuruskan dengan betul dan cekap, supaya murid-murid dapat memahami dan mengekalkan konsep atau fakta matematik dalam ingatan mereka. 
            Oleh itu, penggunaan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah tinggi. Ini adalah penting kerana dengan penggunaan bahan bantu mengajar, guru dapat menyampaikan pengajarannya dengan mudah dan menarik perhatian pelajar. Dengan penggunaan bahan bantu mengajar juga secara tidak langsung akan menjadikan pelajar lebih menumpukan perhatian. 
8.0.1    Carta Grafik Bahan Bantu Mengajar Matematik
8.1       Bahan bantu mengajar yang sesuai digunakan untuk mengajar operasi matematik
Bahan bantu mengajar matematik mengandungi berbagai jenis alat bantu mengajar matematik.
8.1.1          Sudoku

Sudoku merupakan satu bahan untuk murid-murid mengenal nombor. Bahan ini dapat digunakan untuk membantu penguasaan murid-murid kita yang masih belum mengenal nombor dengan baik. Sudoku ini membolehkan murid dapat meningkatkan kemahiran berfikir mereka secara kritis dan kreatif. Murid dapat memahami konsep nombor dengan baik jikalau murid seringkali bermain dengan permainan sudoku.

      8.1.2          Kad ayat matematik / kad domino



Kad ayat matematik boleh diperbuat dengan sendirinya. Guru tidak perlu bersusah dalam menghasilkan kad ayat matematik ini. Kad ini boleh dibuat untuk operasi tambah, tolak, darab dan bahagi. Penggunaan kad ayat matematik ini membolehkan murid membuat banyak operasi matematik dengan sendiri tanpa bimbingan guru. Guru boleh memberikan kad ini sebagai aktiviti pengukuhan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  

 8.1.3   Roda sifir



Roda sifir ini membantu murid-murid menguasai sifir 2 hingga sifir 9. Ini merupakan satu bahan bantu mengajar yang menarik ke arah memahamkan konsep darab di dalam proses pengajaran selain daripada bertujuan untuk menarik minat pelajar. Kebanyakan murid mengalami kesukaran dalam mengingat dan menghafal sifir. Sifir ini sangat penting dalam operasi darab dan bahagi. Dengan roda sifir ini, murid dapat menghafal sifir dan mengimbas kembalinya dengan baik dan betul. Roda sifir ini harus digunakan dalam pengajaran matematik untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.

 8.1.4   Dekak-dekak


Dekak-dekak boleh digunakan untuk mendapatkan hasil tambah. Contohnya, bagi ayat matematik 2311 + 2022, guru bolehlah menggunakan buah yang berlainan warna untuk membezakan nombor yang pertama dan nombor yang kedua seperti rajah di atas. Murid perlu memasukkan bilangan buah ke dalam rumah mengikut angka yang telah diberikan. Bagi mendapatkan hasil tambah kedua-dua nombor, bilang berapa banyak buah yang terdapat dalam setiap rumah. Begitu mudah untuk melakukan operasi tambah dengan menggunakan dekak-dekak. Guru bolehlah membimbing murid menggunakan dekak-dekak bagi melakukan operasi tambah.

   8.1.5 Blok Dienes

Blok Dienes boleh digunakan untuk menerangkan algoritma operasi tambah. Nombor- nombor 369 dan 244 diwakilkan menggunakan blok ini dan seterusnya dicantumkan untuk menunjukkan operasi tambah dilakukan dengan mengambil kira konsep nilai tempat. Selain itu, dengan menggunakan model ini, murid dapat mencari jumlahnya dan menuliskan persamaan untuk merekod proses penambahan itu. Ia juga membantu murid memahami konsep nilai tempat serta menguasai kemahiran menambah dan menolak.

     8.1.6     Petak Seratus



Petak seratus merupakan petak-petak kecil yang berbentuk segi empat digunakan untuk memudahkan pengiraan. Petak ini amat membantu murid dalam memahami konsep dan menguasai kemahiran menukar pecahan yang penyebutnya 2, 4, 5, dan 10 kepada peratus. Petak seratus ini merupakan satu bahan bantu mengajar yang mudah difahami oleh murid supaya murid dapat melakukan pengiraan dengan betul. Guru dapat menggunakan petak seratus dalam mengajar murid operasi tambah dan tolak dan petak ini membolehkan murid melakukan sesuatu pengiraan dengan jelas. Penggunaan petak seratus telah membantu guru menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Matematik. Namun, dengan penggunaan petak seratus guru dapat melibatkan murid dalam  proses pengajaran dengan baik.

8.1.7            Jalur Pecahan

Jalur pecahan digunakan dalam pecahan yang melibatkan operasi darab dan bahagi. Dengan jalur pecahan ini guru dapat membimbing murid melakukan pembahagian sesuatu benda dengan betul dan tepat. Jalur pecahan amat digalakkan dalam pengajaran matematik di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

  8.1.8        Abakus


Abakus ialah suatu alat komunikasi bermanik yang digunakan untuk mengira. Abakus juga dikatakan sebagai suatu model aritmetik yang konkrit lagi dinamik. Abakus boleh digunakan untuk membina kebolehan murid dalam membuat pengiraan. Abakus boleh digunakan untuk merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya konsep matematik dapat dipersembahkan dengan lebih efektif dan menarik. Pada tahun 1995, abakus telah digunakan sebagai bahan bantu mengajar yang efektif untuk menggalakkan aritmetik mental di sekolah rendah. Abakus digunakan untuk membantu mereka menguasai empat operasi asas iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi. Abakus biasanya dikenali sebagai sempoa dalam kalangan orang Melayu dan “suan pan” dalam masyarakat Cina. Pada dasarnya, abakus digunakan sebagai alat mengira untuk melakukan empat operasi asas matematik. Pelajar- pelajar tahap 2 diperkenalkan dengan abakus sebagai alat mengira dalam aktiviti pengayaan.

8.2       Lagu-lagu Operasi Asas Matematik
Lagu matematik ini adalah bertujuan untuk membantu murid menghafal, mengingati dan memahami segala yang berkaitan dengan Matematik. Penggunaan lagu dalam kelas menjadikan suasana pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan dengan cara yang lebih mudah, berkesan dan efektif. Murid-murid akan belajar operasi asas Matematik dengan penuh riang dan seronok. Mereka tidak berasa bosan kerana belajar sambil menyanyi secara tidak langsung dapat memupuk semangat dan kesungguhan mereka mendalami matapelajaran ini. Penggunaan lagu dapat mencungkil bakat semulajadi mereka. Murid akan berani memberikan pendapat dan komen serta bersedia menerima pelbagai bentuk soalan.
            Penggunaan lagu juga boleh membentuk sikap dan peribadi murid berfikir secara kreatif dan inovatif. Murid yakin dan berkebolehan membina soalan sama ada secara spontan atau bertulis berpandukan lagu yang dipelajari.  Lagu-lagu operasi asas matematik ini juga memudahkan dan menguatkan daya ingatan pelajar mengenai asas matematik dan hafalan sifir. Idea menghasilkan formula tersebut tercetus apabila menyedari tentang kelemahan pelajar untuk mengingati fakta dan asas-asas matematik.
8.2.1    Contoh lagu operasi asas matematik



    






1 comment: