total viewer

Saturday, September 21, 2013

Rujukan

Buku
Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (1998), Bahan            Sumber Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Sekolah Rendah, Kuala     Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (1998), Pengajaran dan    Pembelajaran Matematik : Pecahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (1998), Pembinaan    Sumber  Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Sekolah Rendah Nombor,             Kuala   Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Maimunah Hj Daud, Noraini Idris (1994), Pengajaran dan Pembelajaran Matematik, Kuala            Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mok Soon Sang (1995), Matematik untuk Dinamika Guru, Kuala Lumpur : Kumpulan        Budiman Sdn.Bhd.
Joan M Harwell & Rebecca Williams (2008). The Complete Learning Disabilities Handbook.         John Wiley & Sons.
Jurnal
Penggunaan Ict Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik Di Kalangan Guru-Guru
Keberkesanan Penggunaan Perisian Multimedia Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Satu Kajian Mengenai Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Dalam Pengajaran Pembelajaran Matematik  Di Sekolah Rendah
Internet
Apakah matematik?  Kenapa perlu belajar?  Dimuat turun pada September  2, 2013 daripada
http://mawar-intelek.blogspot.com/2012/01/apakah-matematik-kenapa-perlu-belajar.html
Operasi dan pengiraan. Dimuat turun pada Ogos 31 , 2013 daripada
Operasi asas matematik. Dimuat turun pada Ogos  31, 2013 daripada
Kepentingan blog pendidikan. Dimuat turun pada Ogos 31 , 2013 daripada
Kemahiran asas matematik. Dimuat turun pada September 2, 2013 daripada


Rumusan

10.0     Rumusan
Secara keseluruhannya, operasi asas matematik dapat membantu murid dalam pelbagai aspek. Operasi asas matematik meningkatkan daya ingatan dan kefahaman mereka ke tahap yang lebih tinggi. Pada masa kini, guru boleh menggunakan banyak kaedah dan strategi dalam pengajaran operasi asas matematik. Kaedah ‘chalk and talk’ kini tidak sesuai dalam pengajaran matematik tetapi perlu dilakukan pengubahsuaian supaya kelebihan dan faedah pengajaran berasaskan ‘chalk and talk’ dapat diperolehi dan dimanfaatkan. Dengan kata lain kepelbagaian dalam kaedah pengajaran, khususnya dalam pengajaran matematik dapat meningkatkan minat dan sikap pelajar terhadap mata pelajaran tersebut. Justeru itu para guru seharusnya dapat meningkatkan kemahiran pengajaran mereka terutamanya yang meliputi kaedah-kaedah dan strategi pengajaran yang terkini yang terbukti di lain-lain tempat konteks pengajaran dan pembelajaran.

Kesimpulannya, Matematik merupakan salah satu daripada matapelajaran yang agak penting kepada kita semua kerana kita mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian kita sama ada kita sedar ataupun tidak. Contohnya, dalam urusan jual beli di kedai runcit. Untuk kanak-kanak khas pula sebelum kita memulakan sebarang rancangan pelajaran untuk mereka adalah wajar kita mengenalpasti tahap kemahiran murid terlebih dahulu samaada menerusi Rancangan Pendidikan Individu, ujian, teori Piaget, analisis hasil kerja murid, pemerhatian, terapi seni dan menerusi ujian ketajaman penglihatan ataupun pendengaran. Lantaran itu, kita sebagai guru Pendidikan Pemulihan Khas patut sentiasa peka terhadap teknik-teknik menggunakan kemahiran tersebut demi memastikan agar kita benar-benar menjadi guru yang efisien, cekap dan amanah.

Penggunaan ICT dalam Pengajaran Operasi Asas Matematik

Pada satu ketika dulu, jika disebut mata pelajaran matematik ramai antara pelajar akan mengerutkan dahi. Tanda tidak setuju atau takut pada matapelajaran tersebut. Ramai di kalangan pelajar, majoritinya adalah pelajar daripada kaum Melayu sukar mendapat keputusan yang cemerlang di dalam matapelajaran tersebut berbanding pelajar daripada kaum lain terutama pelajar kaum Cina. Pada anggapan sesetengah pelajar, matematik melibatkan pengiraan berbentuk tambah, tolak, darab dan bahagi. Ia merupakan satu perkara yang sukar untuk dilakukan. Menurut Kamus Dewan Edisi 2, matematik adalah satu cabang ilmu sains atau satu perkiraan yang melibatkan nombor. Lebih tepat lagi, matematik adalah mengenai sains yang melibatkan pola.
              Sebenarnya, jika kita tahu bagaimana matematik itu dibentuk dengan sendirinya, kita akan jatuh cinta pada matematik. Kepuasan dirasakan jika kita memperolehi jawapan bagi setiap persoalan matematik. Teknik untuk menjawab matematik adalah melalui penyiasatan atau penerokaan mengenai pola atau corak nombor tersebut. Setiap persoalan matematik adalah terdiri daripada pola - pola yang telah dibentuk. Jika kita telah berjaya menemui pola tersebut dengan sendirinya, jawapan bagi persoalan tersebut akan diperolehi.
        Bagi para guru, penyampaian pengajaran matematik hendaklah disulami dengan penggunaan teknologi sejajar dengan perkembangan arus pemikiran para pelajar ke arah zaman maklumat (ICT). Penggunaan kalkulator bukan lagi satu perkara yang harus dilarang atau ditegah. Kalkulator hanya membantu pelajar semasa aktiviti penyemakan jawapan. Galakkan pelajar berfikir untuk menerokai pola sesuatu persoalan, barulah penyemakan dijalankan dengan bantuan kalkulator. Perisian yang banyak disediakan di laman WEB boleh membantu guru di dalam penyediaan latihan berbentuk pengukuhan atau latih tubi. Dewasa ini, pelbagai isu - isu laman WEB yang boleh membantu para guru mengasuh minda para pelajar mereka.
         Persekitaran pembelajaran adalah elemen utama bagi memastikan tercapainya matlamat pendidikan matematik alaf baru. Guru harus mewujudkan persekitaran yang menyokong dan menggalakkan penaakulan matematik.  Di samping itu, meningkatkan kecenderungan pelajar terhadap matematik harus menjadi pertimbangan utama guru. Guru harus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan perkembangan kuasa matematik setiap pelajar dengan:-
  • menyediakan dan menstruktur masa yang sesuai untuk meneroka serta berusaha memahami idea - idea masalah yang signifikan.
  • menggunakan ruang fizikal dan bahan dengan cara yang memudahkan pembelajaran matematik.
  • menyediakan konteks yang menggalakkan perkembangan kemahiran dan ketrampilan matematik.
  • memberi galakan kepada pelajar untuk menunjukkan ketrampilan matematik dengan mengesahkan dan menyokong idea melalui hujah matematik.
Kini pengajaran dan pembelajaran tidak lagi bertumpu kepada pengiraan operasi yang asas tetapi para pelajar belajar operasi tersebut secara tidak langsung semasa proses permainan. Dengan permainan atau rekreasi matematik, minat para pelajar boleh dipupuk. Secara lazimnya kita ketahui, bahawa tumpuan seseorang pelajar itu akan lebih jika dia melibatkan diri di dalam permainan. Para guru perlulah mengambil kesempatan ini, dengan membawa pendedahan baru kepada para pelajar mereka. Bak kata pepatah, ' Menyelam sambil minum air '. Semasa bermain pelajar secara sedar atau tidak akan meneroka dan seterusnya mengetahui serta memperolehi ilmu baru di dalam matematik.
          Sekiranya minat sudah berjaya ditanam di diri murid,  dengan sendirinya mereka tidak lagi merasakan bahawa matapelajaran matematik itu adalah satu matapelajaran yang sukar untuk difahami. Menanam minat adalah lebih mudah berbanding memaksa pelajar menerima pengetahuan yang disampaikan oleh guru matematik.
        Tambahan pula, Matematik berbentuk rekreasi secara lazimnya banyak membantu para guru menanam atau memberi pendedahan konsep yang mudah diingati oleh pelajar. Sudah menjadi kelaziman seseorang manusia itu, pengetahuan atau pembelajaran yang diperolehi secara tidak formal (bentuk permainan) lebih diingati berbanding pengetahuan yang disampaikan secara formal. Para guru hendaklah bijak di dalam pemilihan matematik rekreasi yang bersesuaian dengan para pelajarnya. Galakan pelajar membuat penerokaan dan penjelajahan mereka sendiri untuk menemui pengetahuan baru. Guru haruslah pandu murid dengan soalan - soalan yang boleh merangsang minda bukannya terus memberikan jawapan kepada pelajar. Cara tersebut akan hanya melemahkan pemikiran para pelajar. Dengan cara ini, murid tidak diberikan peluang untuk mengeluarkan idea masing - masing, sebaliknya terus menerima pengetahuan tersebut daripada guru.
     Selain itu, penaakulan seseorang pelajar itu tidak sama. Aras pemikiran mereka bergantung kepada keupayaan otak mereka dalam mencerna maklumat matematik yang diterima. Bagi pelajar yang lemah, secara lazimnya mereka sudah tidak berminat pada matapelajaran ini kerana mereka telah mewujudkan satu kepercayaan bahawa matapelajaran ini adalah sukar dan hanya mereka yang bijak sahaja yang boleh menguasai setiap persoalan dan permasalahan matematik. Guru haruslah menghapuskan kepercayaan ini daripada para pelajar tersebut. Binalah satu kepercayaan baru, bahawa mereka juga mampu untuk menyelesaikan persoalan dan permasalahan tersebut seandainya mereka berjaya menemui pola yang dimaksudkan.
        Membina kepercayaan di dalam diri pelajar bahawa matematik amat mudah untuk diselami dan diterokai. Bukan hanya segelintir yang mampu menguasainya bahkan semua manusia di dunia ini berpeluang untuk berjaya di dalam penerokaan matematik. Berikan panduan dan rangsangan yang baik bagi menjernihkan minda pelajar dan seterusnya mereka berupaya membina konsepsi yang cemerlang di dalam matematik.
       Perubahan yang paling penting yang perlu dilakukan adalah perubahan dari segi pemikiran guru, cara penyampaian ilmu pengajaran dan kaedah serta pendekatan yang dilakukan bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran agar hasrat murni untuk menghasilkan pelajar yang seimbang sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.




Bahan Bantu Mengajar Matematik

8.0       Bahan Bantu Mengajar Matematik
            Bahan bantu mengajar merupakan segala kelengkapan yang digunakan oleh guru untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran. Bahan bantu mengajar merangkumi semua benda yang boleh dilihat, didengar, dipegang, dibaca, dikisahkan, dirasai, dihidu, digunakan dan sebagainya. Bahan-bahan ini boleh digunakan bersama-sama dengan aktiviti pelajaran di dalam matapelajaran matematik. Guru boleh menggunakan pelbagai jenis bahan bantu mengajar semasa sesi pengajaran mereka.
            Bahan bantu mengajar tersebut terbahagi kepada dua, iaitu bahan elektronik dan bukan elektronik. Antara bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru dalam pengajaran matematik adalah komputer, LCD projector, powerpoint, OHP transparensi, kertas majung, model – model 3D, manila kad, hand out dan bahan – bahan terbuang. Guru juga lebih cenderung untuk membuat dan membina sendiri bahan bantu mengajar ini berbanding menggunakan bahan bantu mengajar yang disediakan oleh pihak sekolah. Kajian Gayeski (1986), menunjukkan bahawa walaupun penggunaan komputer untuk pengajaran menggunakan kaedah graf, carta dan kerja lukisan kini kian mudah dan canggih, namun kaedah tradisional seperti sliad, OHP, dan handout masih lagi digunakan dengan meluas dalam pengajaran matematik.
            Kepelbagaian penggunaan bahan bantu mengajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kefahaman murid dan dapat menarik minat dan perhatian murid untuk lebih fokus dan memahami konsep yang diajar. Menurut Mohd Dahlan (1992), penggunaan pelbagai alat bantu mengajar mengikut cara yang bersesuaian dapat meningkatkan mutu atau tumpuan murid – murid terhadap pembelajaran. Penggunaan bahan bantu mengajar matematik juga turut memudahkan guru dalam penyampaian konsep kepada pelajar. Pada amnya, cara menggunakan alat bantuan mengajar hendaklah diuruskan dengan betul dan cekap, supaya murid-murid dapat memahami dan mengekalkan konsep atau fakta matematik dalam ingatan mereka. 
            Oleh itu, penggunaan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah tinggi. Ini adalah penting kerana dengan penggunaan bahan bantu mengajar, guru dapat menyampaikan pengajarannya dengan mudah dan menarik perhatian pelajar. Dengan penggunaan bahan bantu mengajar juga secara tidak langsung akan menjadikan pelajar lebih menumpukan perhatian. 
8.0.1    Carta Grafik Bahan Bantu Mengajar Matematik
8.1       Bahan bantu mengajar yang sesuai digunakan untuk mengajar operasi matematik
Bahan bantu mengajar matematik mengandungi berbagai jenis alat bantu mengajar matematik.
8.1.1          Sudoku

Sudoku merupakan satu bahan untuk murid-murid mengenal nombor. Bahan ini dapat digunakan untuk membantu penguasaan murid-murid kita yang masih belum mengenal nombor dengan baik. Sudoku ini membolehkan murid dapat meningkatkan kemahiran berfikir mereka secara kritis dan kreatif. Murid dapat memahami konsep nombor dengan baik jikalau murid seringkali bermain dengan permainan sudoku.

      8.1.2          Kad ayat matematik / kad domino



Kad ayat matematik boleh diperbuat dengan sendirinya. Guru tidak perlu bersusah dalam menghasilkan kad ayat matematik ini. Kad ini boleh dibuat untuk operasi tambah, tolak, darab dan bahagi. Penggunaan kad ayat matematik ini membolehkan murid membuat banyak operasi matematik dengan sendiri tanpa bimbingan guru. Guru boleh memberikan kad ini sebagai aktiviti pengukuhan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  

 8.1.3   Roda sifir



Roda sifir ini membantu murid-murid menguasai sifir 2 hingga sifir 9. Ini merupakan satu bahan bantu mengajar yang menarik ke arah memahamkan konsep darab di dalam proses pengajaran selain daripada bertujuan untuk menarik minat pelajar. Kebanyakan murid mengalami kesukaran dalam mengingat dan menghafal sifir. Sifir ini sangat penting dalam operasi darab dan bahagi. Dengan roda sifir ini, murid dapat menghafal sifir dan mengimbas kembalinya dengan baik dan betul. Roda sifir ini harus digunakan dalam pengajaran matematik untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.

 8.1.4   Dekak-dekak


Dekak-dekak boleh digunakan untuk mendapatkan hasil tambah. Contohnya, bagi ayat matematik 2311 + 2022, guru bolehlah menggunakan buah yang berlainan warna untuk membezakan nombor yang pertama dan nombor yang kedua seperti rajah di atas. Murid perlu memasukkan bilangan buah ke dalam rumah mengikut angka yang telah diberikan. Bagi mendapatkan hasil tambah kedua-dua nombor, bilang berapa banyak buah yang terdapat dalam setiap rumah. Begitu mudah untuk melakukan operasi tambah dengan menggunakan dekak-dekak. Guru bolehlah membimbing murid menggunakan dekak-dekak bagi melakukan operasi tambah.

   8.1.5 Blok Dienes

Blok Dienes boleh digunakan untuk menerangkan algoritma operasi tambah. Nombor- nombor 369 dan 244 diwakilkan menggunakan blok ini dan seterusnya dicantumkan untuk menunjukkan operasi tambah dilakukan dengan mengambil kira konsep nilai tempat. Selain itu, dengan menggunakan model ini, murid dapat mencari jumlahnya dan menuliskan persamaan untuk merekod proses penambahan itu. Ia juga membantu murid memahami konsep nilai tempat serta menguasai kemahiran menambah dan menolak.

     8.1.6     Petak Seratus



Petak seratus merupakan petak-petak kecil yang berbentuk segi empat digunakan untuk memudahkan pengiraan. Petak ini amat membantu murid dalam memahami konsep dan menguasai kemahiran menukar pecahan yang penyebutnya 2, 4, 5, dan 10 kepada peratus. Petak seratus ini merupakan satu bahan bantu mengajar yang mudah difahami oleh murid supaya murid dapat melakukan pengiraan dengan betul. Guru dapat menggunakan petak seratus dalam mengajar murid operasi tambah dan tolak dan petak ini membolehkan murid melakukan sesuatu pengiraan dengan jelas. Penggunaan petak seratus telah membantu guru menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Matematik. Namun, dengan penggunaan petak seratus guru dapat melibatkan murid dalam  proses pengajaran dengan baik.

8.1.7            Jalur Pecahan

Jalur pecahan digunakan dalam pecahan yang melibatkan operasi darab dan bahagi. Dengan jalur pecahan ini guru dapat membimbing murid melakukan pembahagian sesuatu benda dengan betul dan tepat. Jalur pecahan amat digalakkan dalam pengajaran matematik di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

  8.1.8        Abakus


Abakus ialah suatu alat komunikasi bermanik yang digunakan untuk mengira. Abakus juga dikatakan sebagai suatu model aritmetik yang konkrit lagi dinamik. Abakus boleh digunakan untuk membina kebolehan murid dalam membuat pengiraan. Abakus boleh digunakan untuk merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya konsep matematik dapat dipersembahkan dengan lebih efektif dan menarik. Pada tahun 1995, abakus telah digunakan sebagai bahan bantu mengajar yang efektif untuk menggalakkan aritmetik mental di sekolah rendah. Abakus digunakan untuk membantu mereka menguasai empat operasi asas iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi. Abakus biasanya dikenali sebagai sempoa dalam kalangan orang Melayu dan “suan pan” dalam masyarakat Cina. Pada dasarnya, abakus digunakan sebagai alat mengira untuk melakukan empat operasi asas matematik. Pelajar- pelajar tahap 2 diperkenalkan dengan abakus sebagai alat mengira dalam aktiviti pengayaan.

8.2       Lagu-lagu Operasi Asas Matematik
Lagu matematik ini adalah bertujuan untuk membantu murid menghafal, mengingati dan memahami segala yang berkaitan dengan Matematik. Penggunaan lagu dalam kelas menjadikan suasana pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan dengan cara yang lebih mudah, berkesan dan efektif. Murid-murid akan belajar operasi asas Matematik dengan penuh riang dan seronok. Mereka tidak berasa bosan kerana belajar sambil menyanyi secara tidak langsung dapat memupuk semangat dan kesungguhan mereka mendalami matapelajaran ini. Penggunaan lagu dapat mencungkil bakat semulajadi mereka. Murid akan berani memberikan pendapat dan komen serta bersedia menerima pelbagai bentuk soalan.
            Penggunaan lagu juga boleh membentuk sikap dan peribadi murid berfikir secara kreatif dan inovatif. Murid yakin dan berkebolehan membina soalan sama ada secara spontan atau bertulis berpandukan lagu yang dipelajari.  Lagu-lagu operasi asas matematik ini juga memudahkan dan menguatkan daya ingatan pelajar mengenai asas matematik dan hafalan sifir. Idea menghasilkan formula tersebut tercetus apabila menyedari tentang kelemahan pelajar untuk mengingati fakta dan asas-asas matematik.
8.2.1    Contoh lagu operasi asas matematik