total viewer

Saturday, September 7, 2013

Operasi Asas Matematik

1.0       Pendahuluan
Pendidikan di Malaysia merupakan satu usaha berterusan untuk melahirkan generasi yang berketrampilan. Justeru itu pelbagai persediaan yang harus dibuat bagi menyediakan pelajar-pelajar menghadapi pelbagai cabaran yang ada. Kemahiran dalam semua bidang merupakan matlamat yang perlu dicapai oleh semua pelajar bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam lapangan kerjaya kelak. Salah satu mata pelajaran asas adalah matematik.
          Menurut Siti Ana Hamdan (2007), penguasaan matematik boleh menjadi prasyarat kepada kejayaan negara mencapai negara maju yang berorientasikan teknologi maklumat. Melalui ilmu matematik pelbagai bidang ilmu lain dapat digarap dan diterjemah untuk faedah semua.  Dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), matematik merupakan mata pelajaran wajib yang dipelajari oleh setiap pelajar hinggalah ke peringkat tertinggi. Dalam proses yang memakan masa enam tahun untuk pendidikan rendah, pelajar dibimbing untuk mengembangkan kemahiran mengira melalui pemikiran kuantitatif mengikut langkah yang logic (Nik Azis, 1992).
       Di samping itu, Sukatan Pelajaran KBSR Matematik menekankan pelajar menguasai kemahiran yang melibatkan operasi-operasi +, -, x, ÷. Operasi-operasi itu merupakan asas kepada menguasai kemahiran-kemahiran lain dalam matematik. Dalam matapelajaran Matematik, selain dari mengenal nombor kanak-kanak perlu diberi kefahaman instrument, kefahaman relasional, dan kefahaman logik. Bloom (1989) telah menyeraikan 3 jenis tingkah laku pemahaman iaitu terjemahan, pentaksiran, dan ekstrapolasi. Sebagai seorang guru, kita harus memahami kesemua perkara tersebut bagi memudahkan guru memahami murid-murid dalam merancang pengajaran yang berkesan dalam membentuk konsep matematik.

1.1       Pengenalan Awal Matematik
Matematik adalah satu bidang ilmu yang sangat luas penggunaannya dalam kehidupan.  Matematik dilihat sebagai satu bidang yang mempunyai hubung jalin dengan bidang yang lain dan sentiasa diaplikasikan dalam kehidupan. 
        Penguasaan matematik awal oleh murid prasekolah penting kerana ianya merupakan asas untuk membantu murid memahami konsep matematik yang lebih tinggi. Pembelajaran matematik awal yang diperoleh melalui pengalaman langsung dan bermakna dalam suasana menggembirakan akan dapat memupuk minat murid untuk mempelajari matematik. Konsep Pranombor, Nombor Awal, Operasi Nombor, Pengukuran, Masa dan Ruang perlulah diajar bersesuaian dengan peringkat perkembangan murid dan merupakan komponen penting dalam pengajaran Matematik Awal di peringkat prasekolah. Terdapat pelbagai kaedah, strategi dan pendapat dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik Awal di peringkat prasekolah. Asas perkembangan matematik bermula daripada pengalaman berkaitan benda-benda konkrit atau objek yang mengandungi kuantiti dan kualiti seperti warna, saiz dan bentuk sebelum peringkat bergambar  (pictorial ) dan simbolik. 
          Di samping itu, menguasai kemahiran asas matematik merupakan satu aspek yang sangat penting bagi seseorang murid. Hal ini kerana matematik merupakan sebahagian daripada kehidupan. Banyak masalah dalam kehidupan hari ini yang memerlukan kemahiran matematik untuk menyelesaikannya. Contohnya, menentukan masa / waktu untuk melakukan sesuatu, menentukan bilangan barang yang ingin diguna, urusan jual beli di kedai dan kantin, tambang bas dan sebagainya. Oleh itu adalah sangat penting seseorang individu itu didedahkan dengan kemahiran-kemahiran asas ini agar mereka boleh menjalani kehiduan dengan lebih terancang dan selesa.

No comments:

Post a Comment