total viewer

Saturday, September 21, 2013

Kepentingan Operasi Matematik Dalam Kehidupan

         Operasi matematik sangat penting dalam kehidupan manusia, contohnya dalam hal berurus niaga. Pemilik kedai runcit akan menggunakan operasi matematik dalam hal berurus niaga dengan pelanggan. Oleh itu, peniaga ini seharusnya sudah memikirkan untuk menukar syiling yang banyak kerana banyak syiling diperlukan untuk dipulangkan kepada pelanggan. Secara tidak langsung, pemilik kedai runcit sudah belajar cara memulangkan baki kepada pelanggan. Ramai peniaga yang wujud di dunia ini tidak pandai menulis tapi pandai mengira dengan lancarnya. Ini kerana wujudnya konsep operasi matematik seperti tambah, tolak, bahagi dan darab. Itulah kepentingan operasi matematik dalam kehidupan seharian kerana wujud praktikal jika diamalkan selalu.
Selain itu, dalam membuat belanjawan kewangan sesebuah keluarga juga akan melibatkan operasi matematik. Ini kerana sesebuah keluarga akan mengaplikasikan kemahiran penggunaan operasi matematik dalam menguruskan belanjawan dan perbelanjaan di dalam kekeluargaan. Kita akan memerlukan kemahiran dalam kira-kira asas matematik iaitu operasi tambah, tolak, darab dan bahagi. Kita perlu mengira berapa banyak wang yang kita akan keluarkan dengan menggunakan operasi tolak dan mengunakan operasi tambah bagi memasukkan pendapatan baru dalam belanjawan kita.
      Di samping itu, operasi matematik juga wujud dalam sistem perbankan dan kewangan. Contohnya, individu yang membuat pinjaman dengan pihak bank akan dikenakan faedah. Jadi operasi matematik akan wujud dalam hal mengira faedah yang akan dikenakan kepada peminjam. Selain daripada itu, dalam urusan menguruskan akaun juga akan melibatkan operasi matematik. Pembahagian harta pusaka atau faraid juga akan melibatkan operasi matematik.Hal ini kerana, untuk membahagikan harta pusaka tersebut. Penggunaan operasi matematik perlu digunakan untuk masalah ini.
      Selain itu, bidang kedoktoran juga memerlukan operasi matematik. Sukatan dos ubat untuk sesuatu penyakit dikira dengan teliti dengan menggunakan operasi matematik. Di samping itu, sewaktu doktor melakukan pembedahan, ukuran untuk lakukan bedahan tersebut adalah dikira dengan teliti dengan menggunakan operasi matematik. Matematik juga memainkan fungsi penting alam bidang ekonomi. Penelitian struktur program sarjana muda dan ijazah lanjutan dalam bidang ekonomi, dan penulisan tesis oleh calon ijazah lanjutan, dan hasil penyelidikan ahli akademik menunjukkan peningkatan yang nyata dalam pengungkapan menggunakan matematik (termasuk statistik dan ekonometrik).
        Selain di bidang kedoktoran, dalam kehidupan seharian kita tidak akan terlepas daripada membuat sukatan. Sukatan merupakan salah satu daripada cabang matematik. Terma-terma seperti meter, liter, persegi, kaki dan padu perlu dikuasai dengan berkesan. Barulah kita dapat melakukan sukatan dengan betul. Kita juga menggunakan sukatan untuk menyukat makanan, melaksanakan jual-beli dan menentukan isipadu barangan di kilang-kilang. 
      Tambahan pula, kejuruteraan merupakan satu bidang ilmu yang sangat penting dewasa ini. Ia merupakan tunjak utama bidang perindustrian. Ia menjadi asas penghasilan teknologi baru dalam kehidupan kita. Juruteralah yang mencipta alatan keperluan di rumah kita seperti mesin basuh, televisyen, radio, komputer, dan sebagainya. Untuk mencipta alatan seperti peti sejuk yang kita gunakan sekarang bukanlah sesuatu yang senang. Ia memerlukan pengetahuan yang tinggi dalam bidang kejuruteraan. Manakala bidang kejuruteraan pula memerlukan pengetahuan yang tinggi dalam ilmu fizik iaitu salah satu sub bidang ilmu sains yang sangat penting dalam kejuruteraan. Contoh penggunaan matematik dalam kejuruteraan ialah penggunaan sudut dan trigonometri untuk mencipta suatu alatan, penggunaan pembezaan dan pengamiran dalam mengukur kelajuan cahaya dan elektrik. Begitu untuk mengukur amaun elektrik yang diperlukan untuk menjanakan sesustu alatan elektrik.
      Sebagaimana yang kita tahu ilmu fizik merupakan satu ilmu yang sangat memerlukan asas matematik yang kukuh. Perkembangan ilmu fizik adalah selari dengan ilmu matematik.Matematik yang menjadi tunjak utama dalam fizik. Ilmu fizik mengaplikasikan matematik peringkat tinggi yang memerlukan penguasaan yang kukuh dan jitu.  Dalam bidang sains seperti kimia dan biologi juga memerlukan matematik. Dalam kimia matematik digunakan untuk mengira bilangan molekul dan unsur dalam sesuatu sebatian. Untuk mengira nombor jisim dan isotop juga memerlukan formula matematik.
      Statistik juga memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita. Statistik digunakan untuk menyajikan data yang dikumpul daripada manusia supaya manusia dapat faham dan guna untuk buat keputusan dalam beberapa perkara yang penting dalam kehidupan kita. Statistik adalah sebahagian daripada matematik. Bidang ini menumpukan kepada pengiraan nilai-nilai unik dalam matematik seperti min, median dan mod untuk menggambarkan ciri-ciri sesuatu sampel atau populasi.
      Matematik juga penting dalam perniagaan dan ekonomi. Matematik digunakan untuk menentukan untung, berapa keluaran yang perlu dikeluarkan, titik pulang modal, harga dan kuantiti keseimbangan dalam perniagaan dan ekonomi.
      Laporan ekonomi seperti yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, institut penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), dan bahagian ekonomi akhbar utama, mengandaikan kecelikan matematik dan statistik yang baik untuk seseorang itu memahami analisis ekonomi yang terkandung di dalamnya. Keputusan yang dibuat dalam pasaran modal, saham dan kewangan banyak berasaskan kepada model matematik. Di sektor swasta, pengurus firma perlu tahu menggunakan pendekatan matematik untuk merancang strategi firma yang bermatlamatkan keuntungan, seperti strategi memaksimumkan jumlah hasil dan meminimumkan jumlah kos tertakluk kepada batasan tertentu seperti harga input, harga output dan kuantiti input yang ditetapkan. Kenyataan tersebut menunjukkan seseorang yang ingin memahami penyelesaian masalah masalah ekonomi memerlukan pemahaman teknik matematik yang bersesuaian.
      Tambahan pula, di kalangan pembuat dasar negara pula, terdapat beberapa alasan yang menyokong kepentingan menggunakan kaedah matematik untuk tujuan perancangan. Pertama, model ekonomi berguna kepada pembuat dasar yang berkaitan dengan pengurusan makroekonomi yang mempunyai objektif seperti pertumbuhan ekonomi, kestabilan harga, guna tenaga penuh dan keseimbangan imbangan pembayaran. Misalnya, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi pertumbuhan ekonomi, dan faktor itu lebih mudah diteliti jika dirangkumkan ke dalam satu kumpulan, dan dikenalpasti faktor mana yang paling kuat mempengaruhi pertumbuhan ekonomi. Seterusnya, model struktur ekonomi boleh memberikan gambaran kasar mengenai potensi ekonomi untuk mencapai matlamat pembangunan jangka panjang seperti pertumbuhan pendapatan, pengwujudan peluang pekerjaan, pengagihan pendapatan dan pembasmian kemiskinan. Model yang dibentuk juga membantu menerangkan kesan yang berlaku dari pelbagai strategi alternatif yang dipilih. Model analisis kos faedah (benefit cost analysis, BCA) yang banyak digunakan oleh pembuat dasar banyak membantu kerajaan dalam membuat keputusan tepat pemilihan pelaburan awam yang memberikan pulangan ekonomi yang optimum.
      Oleh itu, operasi matematik memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan seharian kita. Kita tidak boleh menafikan perkara ini. Manusia yang tidak mengetahui matematik akan mengalami kesukaran dan kesulitan dalam menjalani kehidupan seharian mereka.  

No comments:

Post a Comment